Buat Yang Terbaik Tanpa Hasil

Apabila kita merasakan yang kita sudah pun buat yang terbaik, akan tetapi hasilnya tetap sendu, ia juga boleh menjatuhkan motivasi. Sudah penat berusaha, sudah lelah berdoa, tapi kenapa masih tiada hasil?

Ada beberapa perkara yang perlu kita pertimbangkan apabila termasuk dalam dilema ini.

1. Yang Terbaik Itu Benar Terbaikkah?

Berusaha ni sangat penat, bukan? Kadangkala kita merasakan bahawa kita "Sudah buat semua" tapi masih juga berada di takuk lama. Kita sudah penat dengan segala hal, tapi hasilnya tiada.

Bayangkan begini. Kita bersedia dari awal pagi untuk memasak hidangan istimewa untuk keluarga. Resepi yang asli, bahan-bahan yang segar kita gunakan. Cara masakannya juga mengikuti cara-cara tradisi. Semuanya cukup sempurna. Namun begitu, apabila dihidangkan kepada ahli keluarga kita, mereka memberitahu mereka tdak suka masakan itu. Mereka tidak makan dengan bersungguh pun. Sekadar mencicip menyedapkan hati.

Kecewa bukan? Kita sudah menyediakan yang terbaik dengan harapan ahli keluarga kita gembira dan makan dengan berselera. Namun yang terjadi sebaliknya.

Oleh itu, wajib untuk kita tahu dan faham tentang 'game' masing-masing. Setiap perniagaan yang kita jalankan, 'game'-nya berbeza.

Sekiranya anda menjalankan perniagaan makanan, pasti tidak sama dengan perniagaan pakaian. Perniagaan network marketing tidak sama dengan perniagaan konvensional. Perniagaan yang sentiasa ada permintaan, tidak sama dengan perniagaan yang bermusim.

Sekiranya anda menjual kuih raya, tidak patut anda berasa kecewa dengan hasil di luar musim perayaan. Sekiranya anda menjalankan perniagaan network marketing, tidak patut anda berasa kecewa sekiranya anda belum keluar membina jaringan.

2. Buat Sehabis Baik Sebagai Alasan

Saya biasa mendengar nasihat "Buat sehabis baik" di mana-mana sahaja.

Namun, ayat "Buat sehabis baik" adakalanya dijadikan alasan semata-mata, walaupun hanya buat ala kadar.

Usah buat sehabis baik, mahupun yang terbaik, tetapi buatlah apa sahaja yang perlu untuk mendapatkannya.

Kata-kata seorang kekasih "Demi kekasihku, aku sanggup berenang di lautan api" walaupun hakikatnya dia tidak tahu berenang. Ia adalah metafora untuk menyatakan bahawa dia sanggup melakukan apa saja.

Bayangkan sekiranya kita nampak anak kita berada di dalam keadaan bahaya, kita tanpa berfikir panjang akan terus mendapatkan dia. Kita tak sempat nak fikir, apakah tindakan kita itu terbaik atau tidak, kerana kita sanggup lakukan apa saja!

3. Realiti

Kehidupan kita ini mempunyai kitaran tertentu. Begitu juga dengan ekonomi dan dunia perniagaan. Kita mesti peka dengan realiti. Seumpama kita menjual kuih raya di luar musim perayaan, jika tiada permintaan, bukan kerana perniagaan kita tidak bagus atau kuih kita tidak sedap. Hakikatnya orang mencari kuih raya hanya di kala menjelang Hari Raya.

Menyedari realiti membantu kita untuk mengubah diri dan persangkaan kita agar selari dengan keadaan semasa. Sekiranya kita tidak memahami realiti, kita mungkin tidak habis-habis, terus menyalahkan diri sendiri dan orang lain. Sebenarnya tidak, hanya masa yang tidak sesuai.


No comments:

Post a Comment